Saturday, October 10, 2009

Pesta Tanglung UMS 2009


Kota Kinabalu, Sabah 3 Oktober – Pesta Tanglung Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2009 telah diadakan di Padang Kawad PALAPES UMS bermula pada pukul 6 petang sehingga 11 malam pada 2 Oktober yang lalu.
Terdapat pelbagai acara yang menarik pada malam kemuncak Pesta Tanglung UMS 2009. Antaranya termasuklah pertandingan memakan makanan tradisional, persembahan tarian singa, persembahan nyanyian lagu moden yang dibawa khas oleh dua orang pelajar UMS, serta persembahan tarian tradisional iaitu “Shou Juan”.
Kemudian, Ketua Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Pesta Tanglung iaitu Lim Jia Hao telah memberikan ucapan alu-aluan. Seterusnya diikuti oleh ucapan alu-aluan yang diberikan oleh Naib Canselor UMS iaitu Y.Bhg. Kol. Profesor Datuk Dr. kamaruzaman Haji Ampon serta merasmikan simbolik perasmian bagi Pesta Tanglung UMS 2009.
Suasana pada malam itu ceria dan hangat. Acara kemuncak pada malam tersebut ialah persembahan pukulan gendang 24 musim, persembahan kecil orkestra cina moden, persembahan wushu UMS, persembahan tarian tradisional “Shui Xiu” serta persembahan koir kanak-kanak.
Selain itu, terdapat juga acara penyampaian anugerah yang diberikan iaitu upacara penyampaian hadiah untuk pertandingan melukis dan pertandingan mereka bentuk Tanglung yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori tahun 10 hingga 12 dan kategori tahun 13 hingga 15 yang telah berlangsung selama dua jam iaitu bermula dari pukul 5 petang sehingga pukul 7 malam.
Di samping itu, Pesta Tanglung juga dihangatkan dengan persembahan “Storming”, persembahan drama, persembahan nyanyian lagu moden, serta persembahan tarian tradisional iaitu “Dai Jia Nv”. Kemudian, terdapat upacara penyampaian hadiah untuk pertandingan mewarna di peringkat sekolah rendah bagi kategori tahun 7 hingga 9 yang telah berlangsung selama sejam iaitu dari pukul 8.30 malam sehingga 9.30 malam.
Para penonton turut berhibur dengan acara persembahan nyanyian lagu klasik berunsurkan moden, persembahan “Shou Yu”, persembahan nyanyian lagu moden yang dibawa khas oleh pelajar UMS serta penyalaan dan perarakan Tanglung. Sesungguhnya, program ini dapat memperkenalkan tradisi serta kebudayaan tradisional masyarakat Cina kepada suku kaum yang lain serta memberikan kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan untuk menghargai perayaan dan budaya tradisional agar ia tidak luput ditelan zaman.

posted by : Chia Min Kian

No comments:

Post a Comment